Semoga ia menjadi satu titik permulaan yang positif bagi tahun baru yang akan menjelma untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat

Sunday, May 9, 2010

Peperiksaan Setengah Tahun 2010

Murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor pada hari ini telah mula menduduki peperiksaan setengah tahun iaitu dari 10hb.Mei.2010 hingga 14.Mei. 2010 adalah peperiksaan bagi murid-murid darjah satu, dua dan tiga. Manakala minggu berikutnya iaitu dari 17hb.Mei.2010 hingga 21hb.Mei.2010 adalah peperiksaan bagi murid-murid darjah 4, 5 dan 6.

Semoga semua murid dapat menumpukan perhatian pada peperiksaan dan berjaya dengan keputusan yang cemerlang.

Tuesday, April 27, 2010

Menjelang Sambutan Maulidur Rasul 1431H

Hari-hari terakhir sebelum berlangsungnya program. Semua guru hari ini diminta hadir ke sekolah bagi melaksanakan tugas-tugas terakhr sebelum hari Khamis. Sebagaimana yang terdapat di dalam takwim sekolah, esok merupakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Sekolah Agama Taman Dahlia. Walaupun dah menjejak kaki ke bulan Jamadil Awal itu tidak bermakna, ia tidak boleh disambut lagi.....

Program pada malam ini, iaitu rewang bersama tukang masak yang telah di upah oleh pihak sekolah yang telah depersetujui bersama oleh Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Sek. Agama taman Dahlia. Bermula dari selepas solat Maghrib diadakan bacaan Yassin dan tahlil permintaan daripada peserta-peserta aqiqah, kemudian bacaan rawi berzanji dan berselawat ke atas junjungan, Nabi Muhammad S.A.W.

Majlis pada hari Khamis pula dimulakan seawal 7.35 pagi, murid-murid berkumpul di dataran sekolah kemudian berarak selama 30 minit di sekitar Taman Dahlia, Tampoi diiringi dengan paluan kompang dan bunga manggar. Murid-murid kemudiannya terus masuk ke dewan untuk mendengar ceramah oleh penceramah jemputan sehingga jam 11.30 pagi majlis bersurai.

Tuesday, February 23, 2010

Gotong-royong Perdana 2010

Pihak Sekolah Agama Taman Dahlia akan mengadakan Program Gotong-Royong Perdana pada 7hb Mac 2010 iaitu hari Ahad, bersama Ahli Majlis kawasan Pulai Zon Taman Johor serta Jabatan Kesihatan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program tersebut diadakan sebagai menyambut seruan Kementerian Kesihatan dalam menjayakan Kempen 10 minit sebagai satu cara untuk membasmi wabak denggi.
Sasaran program tersebut adalah ibu bapa penjaga dan juga penduduk sekitar Taman Dahlia. Namun, ia turut dibuka kepada orang awam yang berkesudian untuk sama-sama memeriahkan program tersebut.
Antara pengisian program pada hari tersebut iaitu sesi taklimat berkenaan nyamuk aedes dan demam denggi, penjagaan serta langkah-langkah pencegahan terhadap wabak ini. Selain itu, turut dijalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang hadir ke Sekolah Agama Taman Dahlia pada hari tersebut.
Sekolah ini juga sedang menjalankan Program Buku Hijau. Jadi, sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan tanaman sayuran atau buah-buahan sangat dialu-alukan.
Tidak dilupakan, Kempen Kitar Semula juga akan diadakan. Kepada sesiapa yang berminat menjual sambil beramal adalah amat dialu-alukan. Ini adalah kerana, hasil jualan barang-barang kitar semula seperti suratkhabar lama, kertas-kertas, barangan buangan plastik dan tin-tin aluminium akan dijadikan sumbangan kepada pihak sekolah bagi mengumpul dana pembangunan sekolah.

Saturday, January 23, 2010

Hari Berkabung

Bermula dari hari Jumaat yang lalu bertarikh 22 Januari 2010, seluruh warga Johor berkabung selama 7 hari sehingga hari Khamis 28 Januari 2010.
Sesungguhnya kemangkatan baginda Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sangat dirasai oleh semua.

Wednesday, January 13, 2010

Pengertian Hadas

Menurut kitab Ibadat Darjah 3,
Hadas ertinya keadaan tidak suci pada diri seseorang yang menyebabkan ibadat tertentu yang dilakukan menjadi tidak sah.

Antara ibadat yang tidak sah dilakukan ialah solat dan tawaf iaitu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji atau umrah.

Selain itu, orang yang berhadas juga tidak boleh menyentuh, memegang mahupun membawa Al-Quran dengan tujuan untuk menjaga kesucian Al-Quran tersebut.

Hadas berbeza dengan najis, kerana hadas merupakan sesuatu yang tidak boleh dilihat. Tetapi najis pula boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

Cara untuk menyucikan hadas pula adalah hanya dengan berwuduk, atau mandi wajib ataupun bertayammum (hanya sekiranya tiada air ataupun ketika berada di dalam keuzuran).
Manakala bagi najis, cara menyucikannya pula adalah dengan membuang najis terlebih dahulu, kemudian membasuh tempat atau bahagian yang terkena najis sehingga tiada bau, warna dan rasa pada tempat tersebut.
Setelah itu, maka sucilah seseorang itu daripada hadas dan najis dan bolehlah melaksanakan ibadah yang dituntut oleh Allah S.W.T.

Tuesday, January 5, 2010

Fikir-fikirkanlah....

Rasullullah bersabda, "Jauhkanlah amalan duduk di tepi-tepi jalan."
"Ya, Rasulullah, bagaimana kalau kami mahu juga duduk untuk berbual-bual."
"Jika kamu mahu duduk di situ, kamu hendaklah bersedia menunaikan tanggungjawab." jawab Rasulullah.
"Apakah tanggungjawab itu, ya Rasullullah?" tanya mereka lagi.
"Jagalah penglihatan kamu, jangan menyakiti orang yang lalu lalang, menjawab salam, menyuruh orang berbuat baik serta melarang kemungkaran." jawab Rasullullah lagi.
Diriwayatkan oleh Mutfakun Alaih.

Friday, January 1, 2010

Dia yang dinanti telah menjelma...

2010...akhirnya kau muncul jua
dalam mimpi ku tidak pernah membayangkan
kehadiranmu akan menjelma dalam kehidupanku..
adakah kita mungkin bertemu

Hari ini, hari kedua pendaftaran. Semalam telah berlangsung selama setengah hari bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Begitu juga situasinya pada hari ini. Namun...sambutan daripada penjaga tidak begitu menggalakkan. Purata murid yang mendaftar bagi sekelas tidak menjejak jumlah 30 orang, sedangkan mengikut bilangan tahun lepas, jumlah murid tahun empat sahaja mencecah 50 orang sekelas. Ini bermakna, hari pertama nanti bakal menerima yuran dan pendaftaran dan pertambahan murid lagi.

Pastinya hari tersebut aktiviti p&p belum dapat dijalankan lagi dengan sempurna. Tambahan pula kitab bagi murid tahun 3, merupakan cetakan terbaru, dan masih lagi belum diedarkan ke sekolah-sekolah, walaupun senarai harga telah diperolehi. Masih dalam penantian lah sekarang ni. Tak sabar rasanya hendak menatap kitab terbaru yang akan keluar sempena tahun baru ni.

Tiga orang guru telah berpindah, Ustzh. Norazah, Ustzh. Norsila dan Ustzh Norhamizah. Tahniah kepada mereka kerana telah mendapat DGA29 yang diimpikan. Bagi guru baru, Ustzh Sapora, Ustzh. Mazilah, Ust. Dahlan serta seorang lagi guru baru yang belum sempat berkenalan...semoga kita boleh bekerjasama untuk memajukan sekolah ini.

Kepada rakan-rakan seperjuangan....sabar lah ye. Begitulah situasinya menjelang sesi persekolahan baru. Ada cabaran baru yang perlu kita hadapi dan tangganinya bersama dengan penuh tanggungjawab dan iltizam di dada.

"Kami banggga menjadi guru"