Semoga ia menjadi satu titik permulaan yang positif bagi tahun baru yang akan menjelma untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat

Tuesday, February 23, 2010

Gotong-royong Perdana 2010

Pihak Sekolah Agama Taman Dahlia akan mengadakan Program Gotong-Royong Perdana pada 7hb Mac 2010 iaitu hari Ahad, bersama Ahli Majlis kawasan Pulai Zon Taman Johor serta Jabatan Kesihatan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program tersebut diadakan sebagai menyambut seruan Kementerian Kesihatan dalam menjayakan Kempen 10 minit sebagai satu cara untuk membasmi wabak denggi.
Sasaran program tersebut adalah ibu bapa penjaga dan juga penduduk sekitar Taman Dahlia. Namun, ia turut dibuka kepada orang awam yang berkesudian untuk sama-sama memeriahkan program tersebut.
Antara pengisian program pada hari tersebut iaitu sesi taklimat berkenaan nyamuk aedes dan demam denggi, penjagaan serta langkah-langkah pencegahan terhadap wabak ini. Selain itu, turut dijalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang hadir ke Sekolah Agama Taman Dahlia pada hari tersebut.
Sekolah ini juga sedang menjalankan Program Buku Hijau. Jadi, sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan tanaman sayuran atau buah-buahan sangat dialu-alukan.
Tidak dilupakan, Kempen Kitar Semula juga akan diadakan. Kepada sesiapa yang berminat menjual sambil beramal adalah amat dialu-alukan. Ini adalah kerana, hasil jualan barang-barang kitar semula seperti suratkhabar lama, kertas-kertas, barangan buangan plastik dan tin-tin aluminium akan dijadikan sumbangan kepada pihak sekolah bagi mengumpul dana pembangunan sekolah.